PROSES DAN PROSEDUR KAJIAN TINDAKAN
Prosedur dan proses kajian tindakan
menggunakan pendekatan dan kaedah kuantitatif dan kualitatif, iaitu menggunakan
salah satu atau kedua-duanya sekalu dalam satu kajian. reka bentuk kajian
tindakan merupakan prosedur yang sistematik dalam mengumpul dan menganalisis
maklumat, seterusnya mengambil tindakan yang sesuai untuk meningkatkan amalan
serta pengurusan sesuatu tugasan pengajaran dan pembelajaran.
Pada
awalnya Lewin telah menjelaskan berkaitan kajian tindakan yang mengandungi
langkah perancangan, tindakan, pemerhatian dan penilaian hasil tindakan. Proses
kajian tindakan bermula dengan idea umu yang menekankan bahawa adanya
peningkatan atau perubahan dalam kerja dan amalan adalah diperlukan.
Seterusnya, kumpulan dibentuk untuk menjelaskan dan mengkaji masalah yang
dikenal pasti.
PROSES KAJIAN TINDAKAN
Terdapat pelbagai bentuk kajian tindakan yang
boleh dijalankan. Walaupun bentu kajian adalah berbeza, namun setiap bentuk
kajian perlu mempunyai ciri am yang sama, iaitu kajian tindakan yang
dilaksanakan dalam bentuk gegelung yang merangkumi langkah-langkah seperti
berikut:
Langkah 1: tinjauan awal, iaitu mengenal pasti
masalah dan memahami masalah.
Langkah 2: merancang tindakan.
Langkah 3: pelaksanaan tindakan pemerhatian
dan analisis data.
Langkah 4: melakukan penilaian dan refleksi
Langkah 5: sekiranya perlu masuk semula ke
gelung ke dua dengan merancang semula.
Proses
dalam kajian tindakan akan berulang sehingga ia mantap dan dapat mencari jalan
penyelesaiannya.
PENJELASAN TENTANG LANGKAH-LANGKAH DALAM
KAJIAN TINDAKAN
Langkah 1: Tinjauan awal
a. Mengenal pasti masalah
Masalah kajian pada asasnya dimulakan dengan
persoalan atau tumpuan utama kepada penyiasatan yang akan dijalankan. Dalam
mengenal pasti masalah, ia melibatkan persoalan seperti yang berikut:
i.
Apa yang kita hendak ketahui?
ii.
Apakah soalan-soalan yang boleh ditanya untuk
memahami masalah tersebut?
iii.
Apakah (individu, artifak, amalan dan
lain-lain) yang hendak dikaji?
iv.
Mengapakah masalah atau persoalan tersebut
penting?adakah ia merupakan persoalan yang signifikan dan akan menyumbang
kepada bidang atau amalan?
v.
Adakah masalah boleh dikaji berdasarkan
sumber-sumber yang ada?
Oleh itu, sesuatu masalah atau persoalan
kajian itu perlulah:
i.
Ditulis dengan jelas dengan menggunakan bahasa
yang tidak terlalu teknikal atau serta dapat merangsang minat pembaca.
ii.
Skopnya cukup kecil supaya mudah diurus.
iii.
Diletakkan dengan baik dalam konteks teori dan
penyelidikan semasa.
iv.
Masalah yang memerlukan tindakan segera di mana
masalah tersebut merupakan keutamaan daripada dua atau lebih masalah yang telah
dikenal pasti.
v.
Penyelesaian masalah itu sangat penting.
vi.
Data dapat dikutip dengan cepat dan mudah
dalam apa jua situasi.
vii.
Bidang kajian berada di dalam ruang lingkup
kuasa anda.
Contoh refleksi yang dibuat
oleh seorang pensyarah yang boleh dijadikan masalah serta fokus kajian.
“...walaupun dalam kursus ini pelajar diberi
pendedahan dalam membuat pemilihan kata kerja berdasarkan kepada Taksonomi
Bloom dalam penulisan RPH (Rancangan Pengajaran Harian), namun dalam penulisan
persediaan mengajar mereka tidak dapat menggunakan kata kerja yang tepat
seiring dengan aktiviti yang mereka rancang. Akibat daripada itu hasil
pembelajaran yang hendak dicapai tidak jelas.”
Oleh itu, saya akan fokuskan
kepada kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar, iaitu:
a. Kesilapan penggunaan kata kerja.
b. Kegagalan membuat perkaitan antara aras pencapaian dalam aktiviti dan hasil
pembelajaran yang hendak dicapai.
c. Penulisan hasil pembelajaran tidak secara komprehensif.
b. Memahami masalah
b. Memahami masalah
Setelah masalah kajian telah dikenal pasti, langkah
seterusnya ialah memahami dan mengetahui tentang masalah tersebut secara lebih
terperinci. Maklumat perlu di kumpul dengan menggunakan pelbagai cara untuk
mengetahui dan memahami masalah dengan lebih baik. Antara contohnya ialah
dengan mengadakan ujian, temu bual atau menganalisis dokumen berkaitan seperti
rekod kemajuan pelajar, keputusan ujian atau dokumen yang berkaitan dengan
permasalahan kajian yang hendak dijalankan. Setelah maklumat tersebut telah
dianalisis, kita akan dapat mengetahui tentang punca masalah tersebut dan dapat
membuat perancangan tindakan yang lebih sesuai untuk mengatasinya.
Langkah 2: Merancang tindakan
Dalam perancangan tindakan, perkara-perkara
berikut boleh dipertimbangkan. Antaranya:
i.
Tentukan matlamat cadangan tindakan.
ii.
Mengapa tindakan itu diambil
iii.
Senaraikan tindakan yang perlu diambil dan
nyatakan bentuknya seperti aktiviti, bahan, tanggungjawab dan tugas.
Perancangan kajian tindakan merupakan
pemikiran tentang tindakan-tindakan yang akan dijalankan bagi masalah yang
telah dikenal pasti dan difahami. Langkah-langkah berikut:
i.
Menulis penyataan fokus kajian.
ii.
Definisikan pemboleh ubah yang berkaitan.
iii.
Bentuk soalan kajian.
iv.
Jelaskan intervensi atau inovasi atau
aktiviti-aktiviti yang dicadangkan.
v.
Jelaskan rakan-rakan pengkaji yang akan
terlibat.
vi.
Jelaskan perundingan yang perlu dijalankan.
vii.
Bina garis masa kajian.
viii.
Nyatakan sumber-sumber yang boleh dan akan
digunakan.
ix.
Nyatakan idea-idea tentang pengumpulan data.
x.
Nyatakan cara-cara pemantauan perubahan,
penilaian perubahan sama ada formatif atau sumatif.
xi.
Nyatakan keperluan-keperluan lain seperti
bahan rujukan, kewangan, kemudahan, kelengkapan, tenaga dan masa.
Sebagai contoh, sekiranya masalah yang hendak
dikaji berkaitan dengan ‘pelajar tidak berminat belajar,’ sudah tentu
perkara-perkara yang hendak diketahui lebih lanjut adalah seperti berikut:
i.
Pelajar manakah yang tidak berminat?
ii.
Apakah yang mereka lakukan selain daripada
belajar?
iii.
Adakah mereka tidak berminat membuat perkara
yang sama atau yang berbeza?
iv.
Adakah pada masa, topik-topik tertentu atau
mata pelajaran tertentu sahaja yang menunjukkan mereka kurang berminat?
v.
Apakah bentuk-bentuk perlakuan yang
menunjukkan mereka tidak berminat belajar?
Soalan-soalan di atas boleh membantu
menjelaskan lagi bentuk masalah yang dikaji.
Langkah 3: Menjalankan tindakan, iaitu
pemerhatian dan analisis data.
Perkara yang dirancang perlu dilaksanakan
untuk melihat keberkesanannya. Kumpulan akan memastikan segala yang dirancang
dilaksanakan. Ada pihak yang terlibat dalam melaksanakan rancangan dan ada pula
yang terlibat dalam mengumpul data untuk mengesan keberkesanan tindakan yang
dibuat. Sekiranya apa yang dirancang adalah satu sesi pengajaran, maka perlu
ada ahli kumpulan yang melaksanakan pengajaran yang ada yang memerhatikan
pengajaran untuk mengumpul maklumat yang diperlukan. Terdapat pelbagai cara boleh
dilakukan untuk mengumpul data dan ia bergantung pada keperluan kajian.
contohnya:
i.
Bahan-bahan dokumentasi seperti kerja pelajar
dalam bentuk projek atau kerja rumah, minit mesyuarat, rekod kedatangan
pelajar, skor ujian bulanan, rekod keputusan peperiksaan dan sebagainya.
ii.
Rakaman video atau audio mengenai pengajaran
dan pembelajaran dalam kelas, luar kelas, pelaksanaan program kokurikulum.
iii.
Nota yang dibuat hasil temu bual dengan
pelajar.
iv.
Foto dan gambar menunjukkan kegiatan yang
dikaji.
v.
Catatan buku diari dan nota-nota pelajar.
vi.
Ujian bertulis dan soal selidik kepada
pelajar.
Langkah 4: Melakukan penilaian dan refleksi.
Refleksi bermaksud melihat sama ada terdapat
perubahan dan adakah perubahan tersebut disokong oleh data yang diperoleh. Guru
perlu mengkaji dan meneliti data berkenaan dengan cermat. Guru perlu membuat
analisis dengan menyemak data untuk mencari perkara-perkara yang di luar
jangkaan. Penilaian refleksi boleh dijalankan oleh pengkaji atau bersama rakan
pengkaji melalui perbincangan. Satu proses yang penting dalam tahap ini adalah,
refleksi melibatkan analisis, sintesis, interpretasi, memperjelas dan membuat
kesimpulan.
Brookfield
(1995) menyatakan bahawa proses refleksi adalah melibatkan seseorang itu aktif
mengimbas kembali segala permasalahan yang dihadapi dan berusaha
mempertimbangkan segala kemungkinan yang akan berlaku serta bertungkus-lumus
mencari jalan bagi menyelesaikan segala permasalahan tersebut. Oleh itu,
refleksi boleh diperjelaskan bahawa refleksi ialah tindakan yang bertujuan dan
berhati-hati melalui penilaian secara kritikal yang melibatkan pengujian
strategi seseorang untuk memberi respons kepada sesuatu situasi atau tindakan.
Langkah
menilai dan refleksi juga melibatkan pengambilan keputusan tentang apa yang
berlaku seperti melihat semula fokus kajian, kekangan yang terdapat dalam
situasi, pencapaian dan limitasi langkah pada tindakan pertama,
mempertimbangkan kesannya (termasuk kesan yang tidak dijangka dan kesan
sampingan), dan mula memikirkan implikasinya untuk tindakan pada masa depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan