PERINGKAT MELAKUKAN REFLEKSI DALAM KAJIAN
TINDAKAN
Dalam sesuatu kajian tindakan, refleksi boleh
dilakukan sepanjang masa. Walau bagaimanapun, refleksi perlu dilakukan dalam
tiga peringkat yang penting iaitu peringkat sebelum kajian, semasa kajian dan
selepas kajian.
Peringkat Sebelum Kajian
sebelum kajian tindakan dimulakan, amalan yang
telah dilakukan perlu diingat kembali dan direnungkan. Perlu difikirkan apakah
masalah dalam amalan tersebut, mengapakah ia berlaku dan bagaimana masalah itu
boleh ditangani. Analisis amalan tersebut dan fikirkan tindakan yang
bersesuaian yang perlu dilakukan supaya amalan itu boleh diperbaiki. Apakah
strategi yang sesuai boleh digunakan dan bagaimanakah menggunakannya adalah
perkara yang juga penting difikirkan dalam peringkat ini. Persoalan-persoalan
ini dapat membantu pengkaji dalam menggubal objektif kajian.
Peringkat Semasa Kajian
Semasa pengumpulan dan penganalisisan data,
refleksi perlu dilakukan. Pada peringkat ini perlu disemak adalah strategi yang
difikirkan sebelum ini sesuai digunakan untuk mengumpul data. Sekiranya tidak
sesuai, strategi yang lain boleh digunakan. Dalam masa yang sama, perlu
difikirkan kaedah yang sesuai untuk menganalisis data supaya objektif kajian
dapat dicapai.
Peringkat Selepas Kajian
Refleksi sangat penting dilakukan selepas
menjalankan kajian tindakan. Perubahan yang berlaku terhadap amalan sebelum
perlu di sintesis. Nilai kembali kesan tindakan yang telah diambil supaya
rumusan boleh dilaksanakan dan tindakan susulan boleh dirancang. Refleksi pada
peringkat ini akan melengkapkan gelung kajian tindakan yang pertama. Sama ada
perlu beralih kepada gelung kajian tindakan yang seterusnya bergantung pada
refleksi pada peringkat ini.
HASIL REFLEKSI
- Memberi pengkaji kefahaman baharu tentang kejayaan atau kegagalan beliau terhadap pengajaran dan pembelajaran.
- Membantu pengkaji memahami mengambil tindakan pemulihan atau pengayaan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.
- Membantu pengkaji memahami persekitaran keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaran.
- Merubah persepsi pengkaji terhadap diri, sikap dan pengetahuan tentang bidang, teknik, pendekatan, strategi dan juga kemahiran.
- Menjadikan pengkaji lebih peka, sentiasa positif dan percaya kepada sesuatu yang sentiasa boleh diubah, dibaiki dan dipertingkatkan seiring dengan perubahan sama ada dari aspek persekitaran, bilik darjah, pelajar, pentadbir atau pengurusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan