FRIENSTER STYLE

Rabu, 1 April 2015

Pengumpulan Data dalam Kajian Tindakan

Proses pengumpulan data
Ia melibatkan proses iaitu di mana dan bagaimana data hendak di kumpul, membuat pemerhatian terhadap sesuatu yang sedang berlangsung, merekod, mengumpul, memilih, mengasing  data dan memahami bila ia akan digunakan. Proses ini adalah bertindih-tindih, pengkaji perlu sentiasa merujuk kepada persoalan dan objektif kajian. dalam proses mengumpul data, pemantauan tindakan atau amalan yang dilakukan oleh pengkaji adalah suatu yang penting daripada hanya mengambil data. Ia melibatkan beberapa perkara seperti berikut:
  • Mengumpul data berkaitan amalan atau tindakan yang dapat didokumenkan dengan jelas untuk menyatakan apa yang sebenarnya berlaku.
  • Data di interpretasi untuk membolehkan pengkaji dapat memperihalkan jangkaan penjelasan mengenai apa yang berlaku.
  • Pengkaji perlu menilai apa yang telah dilakukan untuk membuat perancangan bagi tindakan selanjutnya.


Memantau amalan dan tindakan bermakna menjana data sebagai asas kepada proses proses refleksi dan penilaian terhadap apa yang berlaku dan merancang tindakan selanjutnya, ia adalah prinsip kepada kajian tindakan yang dibincangkan dalam unit-unit sebelum ini. Sebahagian daripada tindakan tersebut adalah tindakan pengkaji sendiri dan sebahagian lagi dilakukan oleh orang lain.
Amalan dan tindakan yang dilakukan adalah tumpuan kepada keseluruhan proses pengumpulan data. Ia adalah amalan dan tindakan yang melambangkan sama ada pengkaji komited kepada nilai peribadi dan bidang profesional. Ia diambil oleh pengkaji untuk mencapai persoalan dan objektif kajian yang dibina oleh pengkaji sendiri. Pengkaji memerlukan satu cara yang sistematik dalam mengumpul data. Data yang di kumpul berguna kerana ia dapat membantu memberikan gambaran keseluruhan bagi sesuatu kajian.


KAEDAH UTAMA PENGUMPUL DATA
Kaedah untuk mengumpul data perlulah sesuai dengan objektif kajian. antara kaedah yang boleh digunakan ialah:
  • Pemerhatian
  • Temu bual
  • Data dokumen
  • Soal selidik
  •  Ujian
  • Senario
  •  Catatan jurnal


PEMERHATIAN
Pemerhatian ialah proses meneliti, melihat berdasarkan objektif yang dibina, situasi atau kejadian secara kritikal. Ia sesuai digunakan untuk mengamati tingkah laku pelajar berdasarkan objektif atau pemboleh ubah berdasarkan objektif kajian. pelaksanaannya adalah secara sistematik kerana semasa pengkaji membuat pemerhatian dalam masa yang sama perlu membuat kajian lapangan. Nota lapangan ini adalah hasil pemerhatian yang dilakukan oleh pengkaji. Ia boleh dalam bentuk nota deskripsi, peta minda atau di rekod oleh pengkaji dengan menggunakan pita rakaman. Pemerhatian dilaksanakan dengan membuat catatan tentang apa yang berlaku semasa proses pengajaran dan pengajaran.
            Senarai semak perlu disediakan sebelum pemerhatian dilakukan supaya lebih berstruktur. Pemerhatian boleh juga dilakukan dengan menggunakan pita rakaman video, pita rakaman audio, kamera atau telefon bimbit yang mempunyai fungsi merakam video dan audio. Ia mestilah dilakukan dengan sebaik mungkin dan pengkaji tidak boleh terpengaruh dengan tingkah laku subjek semasa menjalankan pemerhatian.
            Data pemerhatian merupakan sumber yang penting untuk melengkapkan maklumat yang diperoleh melalui pengutipan data dengan kaedah yang lain. Melalui pemerhatian, banyak maklumat dapat diperoleh dengan lebih cepat. Penyediaan soalan sebelum melakukan pemerhatian adalah penting kerana menerusi soalan-soalan pemerhatian, pengkaji dapat mengumpul banyak maklumat ke atas masalah. Semasa membuat pemerhatian, catatan akan di rekod menggunakan borang pemerhatian dan ia boleh dilakukan dalam dua cara iaitu:
        i.            Rekod pemerhatian secara berstruktur
      ii.            Rekod pemerhatian secara tidak berstruktur

Pemerhatian Berstruktur
Ia adalah pemerhatian secara bersemuka. Hasil pemerhatian dapat dilihat secara terus d dalam bilik darjah. Aspek yang diperhatikan dikenal pasti terlebih dahulu. Pengkaji memerhati, mendengar dan merekod maklumat berdasarkan set aktiviti yang telah dikenal pasti. Pemerhatian berstruktur dilakukan dengan menggunakan senarai semak yang telah dibina berdasarkan objektif kajian. dalam pemerhatian berstruktur, pengkaji telah jelas mengenai aspek-aspek yang hendak dipatuhi. Untuk tujuan tersebut, pengkaji perlu menyediakan kod bagi perkara yang hendak diperhati.

Pelajar
Skala
1
2
3
4
5
%
Aida Binti Mad






Mastura Binti Hasan







Pemerhatian Tidak Berstruktur
Pemerhatian tidak berstruktur dilakukan tanpa merujuk kepada set aktiviti atau aspek yang telah dikenal pasti secara khusus. Namun begitu, pengkaji perlu menentukan fokus pemerhatian, iaitu perlakuan guru, tingkah laku pelajar, bahasa badan semasa pengajaran dan pembelajaran, seorang pelajar atau sekumpulan pelajar dan pergerakan dalam bilik darjah. Pengkaji juga perlu menentukan tingkah laku yang ada kaitan dengan isu yang dikaji. Pada mulanya, pengkaji mungkin tidak tahu apa yang hendak dikaji namun selepas membuat pemerhatian, barulah pengkaji mendapat maklumat. Pengkaji bebas mencatat mengikut kesesuaian mereka.


Merekod Pemerhatian
Pemerhatian boleh direkod ketika sedang mengajar. Namun begitu, kaedah ini mungkin menyusahkan kerana guru tidak mungkin dapat menjadi pemerhati dalam masa yang sama perlu berhubung sepenuhnya dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Pengkaji boleh membuat catatan dan refleksi. Cara ini mungkin lebih baik dalam kaedah catatan lapangan kerana pengkaji merekod pemerhatian selepas sesi persekolahan.

Senarai Semak Pemerhatian
Pengkaji perlu menyediakan senarai semak sebelum pemerhatian dibuat. Senarai semak pemerhatian boleh digunakan dalam proses pengumpulan data. Pemerhatian dilakukan bersama dengan senarai semak agar pemerhatian dan pengumpulan data berfokus. Kompilasi data yang begini boleh digunakan untuk mengumpul data terkini atau mengesahkan sesuatu perlakuan. Senarai semak yang dibuat mestilah mempunyai integriti, keesahan, nilai dan relevan terhadap isu untuk data yang hendak dikumpulkan.

Pembinaan Senarai Semak untuk Pemerhatian
  •           Kenal pasti perkara yang hendak diperhatikan.
  • Apakah aspek-aspek dan tentukan kriteria untuk aspek tersebut. Pastikan ia menjelaskan perlakuan yang hendak diperhatikan. Semak kriteria aspek dengan standard yang telah ditentukan.
  • Reka alat untuk mengumpul data. Gunakan alatan semasa membuat pemerhatian.
  • Jadualkan data senarai semak yang telah dikumpulkan.


TEMU BUAL
Kaedah temu bual adalah kaedah pengutipan dat yang melibatkan interaksi bersemuka antara penyelidik dengan responden. Temu bual juga boleh dilaksanakan melalui telefon. Temu bual ialah kaedah terbaik untuk mendapatkan maklumat daripada informan secara mendalam. Informan bagi temu bual terdiri daripada pelajar, rakan sejawat, pihak pentadbir dan ibu bapa. Mereka perlu ditemu bual untuk mengetahui persepsi, pendapat dan sikap mereka terhadap kajian yang dijalankan. Temu bual boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan kecil. Temu bual perlu dijadikan transkripsi, kategori dan tema.

Jenis-jenis Temu Bual
  •  Temu bual secara informal – berbual atau bersoal jawab secara tidak formal tentang masalah yang dihadapi.
  • Temu bual secara semi berstruktur – soalan utama disediakan dan soalan susulan berdasarkan jawapan informan.
  • Soalan berstruktur – sediakan soalan yang jelas kepada permasalahan yang hendak dikaji.


DATA DOKUMEN
Pengumpulan data melalui dokumen dapat memberikan maklumat yang relevan kepada isu dan masalah yang dikaji. Dokumen adalah sumber paling mudah kepada pengkaji kerana maklumat yang dikehendaki telah sedia ada dan ia boleh memberi maklumat yang berguna dan boleh menjadi bukti kepada perkara yang hendak dikaji. Kebiasaannya data dokumen adalah dalam bentuk manuskrip yang dapat menjelaskan makna (perkara yang hendak dikaji) secara lebih mendalam, teliti dan sistematik. Penyelidik harus sentiasa membuat semakan bagi mengumpulkan maklumat yang betul. Contoh dokumen yang boleh digunakan ialah:

  • Diari atau jurnal, kertas peperiksaan dan ujian.
  • Tugasan dan latihan pelajar
  • Transkripsi jawapan peperiksaan atau ujian
  • Catatan minit mesyuarat
  • Bahagian-bahagian di dalam buku teks, modul atau buku rujukan
  • Keputusan peperiksaan bulanan, semester dan peperiksaan awam
  • Buku teks dan buku rujukan
  •  Rekod pencapaian
  • Sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran
  •  Buku rancangan mengajar harian
  • Kertas peperiksaan dan ujian bulanan
  • Gambar foto
  • Minit mesyuarat panitia
  • Jadual kedatangan murid


Sampel kerja pelajar seperti latihan khusus, projek, tugasan, jawapan peperiksaan boleh dijadikan sumber maklumat untuk melihat perkembangan pelajar.

SOAL SELIDIK
Soal selidik kerap digunakan oleh pengkaji. Cara ini paling mudah untuk memperoleh data yang diperlukan bagi membolehkan pengkaji mengetahui keadaan sebenar tentang isu-isu pengajaran dan pembelajaran. Soal selidik yang dibina mestilah menepati objektif atau masalah yang dikaji. Soal selidik yang dibina mestilah menepati objektif atau masalah yang dikaji. Bentuk soalan adalah terdiri dari:
  • Soalan tertutup
  • Skala Likert
  • Soalan terbuka


UJIAN
Ujian merupakan kaedah yang digunakan untuk mengutip data bagi menilai dan mengesan kefahaman pelajar terhadap sesuatu pelajaran yang telah dipelajari. Ia boleh dijalankan secara lisan atau bertulis. Ujian digunakan untuk membandingkan prestasi pelajar sebelum dan selepas sesuatu ujian dilakukan. Terdapat dua jenis ujian iaitu ujian pra dan ujian pos. Kedua-dua set soalan mestilah berbeza. Suasana kedua-dua mestilah tidak terlalu berbeza. Keputusan yang diperoleh daripada ujian boleh menjadi satu indikator yang baik tentang pencapaian atau penguasaan terhadap sesuatu kemahiran atau pengetahuan yang telah diajar kepada pelajar. Jika keputusan ujian pos menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding ujian pra, maka objektif kajian tercapai.

SENARIO
Senario ialah pengumpulan data berdasarkan situasi yang dialami oleh pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

CATATAN JURNAL
Catatan jurnal adalah rekod yang anda simpan untuk mencatat dan merekod tindakan, amalan dan refleksi terhadap tindakan dan amalan. Dalam catatan jurnal juga direkodkan refleksi semasa mengumpul data dan apa yang dapat dipelajari oleh pengkaji. Ia sangat bermakna untuk membezakan dan turut memperjelaskan dan memperihal tindakan pengkaji.

CABARAN DALAM PROSES PENGUMPULAN DATA
Pengkaji perlu sentiasa menyusun, mengasing dan menyimpan data. Data yang di kumpul adalah untuk tujuan mendapatkan bukti-bukti terhadap kajian yang dilakukan. Proses pengumpulan data mungkin mengambil masa yang panjang. Pengkaji perlu mempunyai rekod yang lengkap dan arif mengenai lapangan di mana data di kumpul. Pengkaji juga mungkin sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada informan dan terlibat dengan perkara yang mengekang proses pengumpulan data. Hal ini demikian kerana, ada kalanya data yang di kumpul sangat berguna dan ada data yang di kumpul terlalu banyak dan tidak berfokus. Teknik penyimpanan data yang pelbagai perlu lebih sistematik bagi memastikan data boleh diulang semak dan boleh diambil untuk tujuan kesahan dan kebolehpercayaan kajian.


5 ulasan:

  1. salam.boleh saya tahu cikgu rujuk dimana maklumat ini?

    BalasPadam
  2. Terima kasih Dr Zul atas perkongsian ilmu. Ianya amat membantu saya yang sedang menyiapkan penulisan kajian tindakan. Terima kasih sekali lagi

    BalasPadam