FRIENSTER STYLE

Rabu, 1 April 2015

Konsep dan Definisi Kajian Tindakan

KONSEP DAN DEFINISI KAJIAN TINDAKAN

Kajian tindakan boleh dilaksanakan sama ada berasaskan kumpulan atau individu. Ia dijalankan oleh penyelidik dalam konteksnya sendiri atau boleh oleh agen perubahan daripada luar organisasi dengan kerjasama orang dalam dan mempunyai matlamat untuk meningkatkan amalan. Definisi klasik kajian tindakan telah dikemukakan oleh Kurt Lewin dan Stephen Corey (1953).
            Menurut Kurt Lewin (1947), kajian tindakan ialah satu proses lingkaran yang mengandungi tiga langkah, iaitu (1) perancangan yang melibatkan tinjauan, (2) mengambil tindakan, dan (3) mencari tentang keputusan tindakan.
            Menurut  Stephen Corey (1953) pula, kajian tindakan adalah proses di mana pengamal cuba untuk mengkaji masalah mereka secara saintifik, bagi memandu, betul dan dinilai keputusan dan tindakan mereka.
Terdapat perbezaan pendapat tentang istilah serta isu-isu dalam kajian tindakan, namun kebanyakannya bersetuju bahawa kajian tindakan adalah satu inkuiri yang dilakukan oleh atau bersama ‘orang dalam’ (insiders) di sesebuah organisasi atau komuniti, tetapi tidak kepada atau ke atas mereka. Ia merupakan satu proses reflek yang dijalankan  secara bertujuan dan bersistematik oleh individu dan kumpulan yang biasanya memerlukan satu bentuk bukti untuk menyokong sesuatu kenyataan  dan bermatlamat untuk mengubah atau meningkatkan amalan.



PERBANDINGAN KAJIAN TINDAKAN DAN KAJIAN KONVENSIONAL

Kajian tindakan bilik darjah adalah merupakan penyelidikan ke atas pedagogi yang khusus kepada bilik darjah tertentu. Setiap situasi pengajaran adalah unik dari segi kandungan, tahap, kemahiran pelajar dan gaya belajar, kemahiran guru dan gaya mengajar dan banyak faktor lain lagi. Bagi mencapai keberkesanan dalam pengajaran, guru perlulah mengetahui perkara terbaik untuk dijalankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan bilik darjah dapat membantu guru secara sistematik untuk menganalisis situasi yang berlaku di dalam kelas.
Selain itu, kajian tindakan bilik darjah juga adalah kajian yang direka bentuk untuk membantu guru mengkaji hal yang berlaku dalam bilik darjah dan menggunakan maklumat tersebut untuk mengambil tindakan bagi peningkatan dan pengembangan pada masa akan datang manakala penyelidikan formal tentang pengajaran dan pembelajaran adalah penyelidikan yang direka bentuk untuk menguji teori dan memperoleh pengetahuan yang boleh digeneralisasikan kepada banyak latar dan situasi mengajar.
Kajian tindakan dan kajian konvensional tidak mempunyai banyak perbezaan. Perbezaan yang ketara adalah berkaitan dengan tindakan yang merupakan sebahagian daripada proses dan prosedur kajian tindakan. Bagi kajian konvensional, tindakan biasanya bergantung pada tujuan kajian, dan biasanya jarang dilakukan tindakan memandangkan kajian konvensional dijalankan terhadap isu dan masalah orang lain bagi mencari jalan penyelesaian yang sesuai.


Kajian Tindakan
Kajian Konvensional
OBJEKTIF – memperbaiki amalan sendiri dan membentuk teori praktis.
OBJEKTIF – menguji teori, membuat generalisasi dan menjelaskan prinsip.

REKA BENTUK – boleh ubahsuai berdasarkan keadaan dan keperluan situasi sebenar.

REKA BENTUK – ditetapkan terlebih dahulu dan tetap.
SUBJEK KAJIAN – penyelidik sebahagian daripada subjek kajian.

SUBJEK KAJIAN – merupakan sampel yang dipilih.
KAEDAH – dijalankan dalam situasi sebenar dan memerlukan tindakan dan penilaian ke atas tindakan.
KAEDAH – bergantung pada teknik persampelan dan analisis statistik yang canggih, tidak semestinya dalam situasi yang sebenar.

LAPORAN KAJIAN – menggunakan bahasa yang mudah difahami.
LAPORAN KAJIAN – lebih bersifat teknikal dan memerlukan pengetahuan yang khusus untuk memahaminya.

Jadual 1: Perbandingan kajian tindakan dengan kajian konvensional.

      Menurut Zuber-Skerritt (1992), kajian tindakan sebagai pendekatan alternatif kepada penyelidikan konvensional adalah berbeza berdasarkan perkara-perkara berikut:
  • Praktikal – dapatan serta pengetahuan yang diperoleh melalui kajian tindakan bukan sahaja ada kepentingan teoritikal dalam perkembangan pengetahuan dalam sesuatu bidang, tetapi juga ia membawa kepada peningkatan yang praktikal semasa dan selepas proses penyelidikan.
  • Partisipatif kolaboratif – penyelidik terlibat secara langsung bersama dengan subjek mengkaji masalah praktikal dan meneliti penyelesaian serta meningkatkan amalan.
  • Emansipatori – pendekatannya bukan berheraki  tetapi semua pihak yang terlibat dalam penyelidikan adalah sementara  dalam memberi sumbangan kepada penyelidikan.
  •  Interpretif – banyak bergantung pada pandangan dan interpretasi orang-orang yang terlibat dalam penyelidikan.
  • Kritikal – partisipan adalah lebih bersifat kritikal dalam proses penyelidikan bagi mencari jalan yang paling sesuai untuk peningkatan amalan dalam konteks kekangan yang terdapat. Penyelidik lebih bertindak sebagai agen perubahan yang kritikal. Mereka mengubah persekitaran dan dalam proses tersebut mereka berubah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan