FRIENSTER STYLE

Khamis, 2 April 2015

Rabu, 1 April 2015

Pengumpulan Data dalam Kajian Tindakan

Proses pengumpulan data
Ia melibatkan proses iaitu di mana dan bagaimana data hendak di kumpul, membuat pemerhatian terhadap sesuatu yang sedang berlangsung, merekod, mengumpul, memilih, mengasing  data dan memahami bila ia akan digunakan. Proses ini adalah bertindih-tindih, pengkaji perlu sentiasa merujuk kepada persoalan dan objektif kajian. dalam proses mengumpul data, pemantauan tindakan atau amalan yang dilakukan oleh pengkaji adalah suatu yang penting daripada hanya mengambil data. Ia melibatkan beberapa perkara seperti berikut:
  • Mengumpul data berkaitan amalan atau tindakan yang dapat didokumenkan dengan jelas untuk menyatakan apa yang sebenarnya berlaku.
  • Data di interpretasi untuk membolehkan pengkaji dapat memperihalkan jangkaan penjelasan mengenai apa yang berlaku.
  • Pengkaji perlu menilai apa yang telah dilakukan untuk membuat perancangan bagi tindakan selanjutnya.


Memantau amalan dan tindakan bermakna menjana data sebagai asas kepada proses proses refleksi dan penilaian terhadap apa yang berlaku dan merancang tindakan selanjutnya, ia adalah prinsip kepada kajian tindakan yang dibincangkan dalam unit-unit sebelum ini. Sebahagian daripada tindakan tersebut adalah tindakan pengkaji sendiri dan sebahagian lagi dilakukan oleh orang lain.
Amalan dan tindakan yang dilakukan adalah tumpuan kepada keseluruhan proses pengumpulan data. Ia adalah amalan dan tindakan yang melambangkan sama ada pengkaji komited kepada nilai peribadi dan bidang profesional. Ia diambil oleh pengkaji untuk mencapai persoalan dan objektif kajian yang dibina oleh pengkaji sendiri. Pengkaji memerlukan satu cara yang sistematik dalam mengumpul data. Data yang di kumpul berguna kerana ia dapat membantu memberikan gambaran keseluruhan bagi sesuatu kajian.


KAEDAH UTAMA PENGUMPUL DATA
Kaedah untuk mengumpul data perlulah sesuai dengan objektif kajian. antara kaedah yang boleh digunakan ialah:
  • Pemerhatian
  • Temu bual
  • Data dokumen
  • Soal selidik
  •  Ujian
  • Senario
  •  Catatan jurnal


PEMERHATIAN
Pemerhatian ialah proses meneliti, melihat berdasarkan objektif yang dibina, situasi atau kejadian secara kritikal. Ia sesuai digunakan untuk mengamati tingkah laku pelajar berdasarkan objektif atau pemboleh ubah berdasarkan objektif kajian. pelaksanaannya adalah secara sistematik kerana semasa pengkaji membuat pemerhatian dalam masa yang sama perlu membuat kajian lapangan. Nota lapangan ini adalah hasil pemerhatian yang dilakukan oleh pengkaji. Ia boleh dalam bentuk nota deskripsi, peta minda atau di rekod oleh pengkaji dengan menggunakan pita rakaman. Pemerhatian dilaksanakan dengan membuat catatan tentang apa yang berlaku semasa proses pengajaran dan pengajaran.
            Senarai semak perlu disediakan sebelum pemerhatian dilakukan supaya lebih berstruktur. Pemerhatian boleh juga dilakukan dengan menggunakan pita rakaman video, pita rakaman audio, kamera atau telefon bimbit yang mempunyai fungsi merakam video dan audio. Ia mestilah dilakukan dengan sebaik mungkin dan pengkaji tidak boleh terpengaruh dengan tingkah laku subjek semasa menjalankan pemerhatian.
            Data pemerhatian merupakan sumber yang penting untuk melengkapkan maklumat yang diperoleh melalui pengutipan data dengan kaedah yang lain. Melalui pemerhatian, banyak maklumat dapat diperoleh dengan lebih cepat. Penyediaan soalan sebelum melakukan pemerhatian adalah penting kerana menerusi soalan-soalan pemerhatian, pengkaji dapat mengumpul banyak maklumat ke atas masalah. Semasa membuat pemerhatian, catatan akan di rekod menggunakan borang pemerhatian dan ia boleh dilakukan dalam dua cara iaitu:
        i.            Rekod pemerhatian secara berstruktur
      ii.            Rekod pemerhatian secara tidak berstruktur

Pemerhatian Berstruktur
Ia adalah pemerhatian secara bersemuka. Hasil pemerhatian dapat dilihat secara terus d dalam bilik darjah. Aspek yang diperhatikan dikenal pasti terlebih dahulu. Pengkaji memerhati, mendengar dan merekod maklumat berdasarkan set aktiviti yang telah dikenal pasti. Pemerhatian berstruktur dilakukan dengan menggunakan senarai semak yang telah dibina berdasarkan objektif kajian. dalam pemerhatian berstruktur, pengkaji telah jelas mengenai aspek-aspek yang hendak dipatuhi. Untuk tujuan tersebut, pengkaji perlu menyediakan kod bagi perkara yang hendak diperhati.

Pelajar
Skala
1
2
3
4
5
%
Aida Binti Mad






Mastura Binti Hasan







Pemerhatian Tidak Berstruktur
Pemerhatian tidak berstruktur dilakukan tanpa merujuk kepada set aktiviti atau aspek yang telah dikenal pasti secara khusus. Namun begitu, pengkaji perlu menentukan fokus pemerhatian, iaitu perlakuan guru, tingkah laku pelajar, bahasa badan semasa pengajaran dan pembelajaran, seorang pelajar atau sekumpulan pelajar dan pergerakan dalam bilik darjah. Pengkaji juga perlu menentukan tingkah laku yang ada kaitan dengan isu yang dikaji. Pada mulanya, pengkaji mungkin tidak tahu apa yang hendak dikaji namun selepas membuat pemerhatian, barulah pengkaji mendapat maklumat. Pengkaji bebas mencatat mengikut kesesuaian mereka.


Merekod Pemerhatian
Pemerhatian boleh direkod ketika sedang mengajar. Namun begitu, kaedah ini mungkin menyusahkan kerana guru tidak mungkin dapat menjadi pemerhati dalam masa yang sama perlu berhubung sepenuhnya dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Pengkaji boleh membuat catatan dan refleksi. Cara ini mungkin lebih baik dalam kaedah catatan lapangan kerana pengkaji merekod pemerhatian selepas sesi persekolahan.

Senarai Semak Pemerhatian
Pengkaji perlu menyediakan senarai semak sebelum pemerhatian dibuat. Senarai semak pemerhatian boleh digunakan dalam proses pengumpulan data. Pemerhatian dilakukan bersama dengan senarai semak agar pemerhatian dan pengumpulan data berfokus. Kompilasi data yang begini boleh digunakan untuk mengumpul data terkini atau mengesahkan sesuatu perlakuan. Senarai semak yang dibuat mestilah mempunyai integriti, keesahan, nilai dan relevan terhadap isu untuk data yang hendak dikumpulkan.

Pembinaan Senarai Semak untuk Pemerhatian
  •           Kenal pasti perkara yang hendak diperhatikan.
  • Apakah aspek-aspek dan tentukan kriteria untuk aspek tersebut. Pastikan ia menjelaskan perlakuan yang hendak diperhatikan. Semak kriteria aspek dengan standard yang telah ditentukan.
  • Reka alat untuk mengumpul data. Gunakan alatan semasa membuat pemerhatian.
  • Jadualkan data senarai semak yang telah dikumpulkan.


TEMU BUAL
Kaedah temu bual adalah kaedah pengutipan dat yang melibatkan interaksi bersemuka antara penyelidik dengan responden. Temu bual juga boleh dilaksanakan melalui telefon. Temu bual ialah kaedah terbaik untuk mendapatkan maklumat daripada informan secara mendalam. Informan bagi temu bual terdiri daripada pelajar, rakan sejawat, pihak pentadbir dan ibu bapa. Mereka perlu ditemu bual untuk mengetahui persepsi, pendapat dan sikap mereka terhadap kajian yang dijalankan. Temu bual boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan kecil. Temu bual perlu dijadikan transkripsi, kategori dan tema.

Jenis-jenis Temu Bual
  •  Temu bual secara informal – berbual atau bersoal jawab secara tidak formal tentang masalah yang dihadapi.
  • Temu bual secara semi berstruktur – soalan utama disediakan dan soalan susulan berdasarkan jawapan informan.
  • Soalan berstruktur – sediakan soalan yang jelas kepada permasalahan yang hendak dikaji.


DATA DOKUMEN
Pengumpulan data melalui dokumen dapat memberikan maklumat yang relevan kepada isu dan masalah yang dikaji. Dokumen adalah sumber paling mudah kepada pengkaji kerana maklumat yang dikehendaki telah sedia ada dan ia boleh memberi maklumat yang berguna dan boleh menjadi bukti kepada perkara yang hendak dikaji. Kebiasaannya data dokumen adalah dalam bentuk manuskrip yang dapat menjelaskan makna (perkara yang hendak dikaji) secara lebih mendalam, teliti dan sistematik. Penyelidik harus sentiasa membuat semakan bagi mengumpulkan maklumat yang betul. Contoh dokumen yang boleh digunakan ialah:

  • Diari atau jurnal, kertas peperiksaan dan ujian.
  • Tugasan dan latihan pelajar
  • Transkripsi jawapan peperiksaan atau ujian
  • Catatan minit mesyuarat
  • Bahagian-bahagian di dalam buku teks, modul atau buku rujukan
  • Keputusan peperiksaan bulanan, semester dan peperiksaan awam
  • Buku teks dan buku rujukan
  •  Rekod pencapaian
  • Sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran
  •  Buku rancangan mengajar harian
  • Kertas peperiksaan dan ujian bulanan
  • Gambar foto
  • Minit mesyuarat panitia
  • Jadual kedatangan murid


Sampel kerja pelajar seperti latihan khusus, projek, tugasan, jawapan peperiksaan boleh dijadikan sumber maklumat untuk melihat perkembangan pelajar.

SOAL SELIDIK
Soal selidik kerap digunakan oleh pengkaji. Cara ini paling mudah untuk memperoleh data yang diperlukan bagi membolehkan pengkaji mengetahui keadaan sebenar tentang isu-isu pengajaran dan pembelajaran. Soal selidik yang dibina mestilah menepati objektif atau masalah yang dikaji. Soal selidik yang dibina mestilah menepati objektif atau masalah yang dikaji. Bentuk soalan adalah terdiri dari:
  • Soalan tertutup
  • Skala Likert
  • Soalan terbuka


UJIAN
Ujian merupakan kaedah yang digunakan untuk mengutip data bagi menilai dan mengesan kefahaman pelajar terhadap sesuatu pelajaran yang telah dipelajari. Ia boleh dijalankan secara lisan atau bertulis. Ujian digunakan untuk membandingkan prestasi pelajar sebelum dan selepas sesuatu ujian dilakukan. Terdapat dua jenis ujian iaitu ujian pra dan ujian pos. Kedua-dua set soalan mestilah berbeza. Suasana kedua-dua mestilah tidak terlalu berbeza. Keputusan yang diperoleh daripada ujian boleh menjadi satu indikator yang baik tentang pencapaian atau penguasaan terhadap sesuatu kemahiran atau pengetahuan yang telah diajar kepada pelajar. Jika keputusan ujian pos menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding ujian pra, maka objektif kajian tercapai.

SENARIO
Senario ialah pengumpulan data berdasarkan situasi yang dialami oleh pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

CATATAN JURNAL
Catatan jurnal adalah rekod yang anda simpan untuk mencatat dan merekod tindakan, amalan dan refleksi terhadap tindakan dan amalan. Dalam catatan jurnal juga direkodkan refleksi semasa mengumpul data dan apa yang dapat dipelajari oleh pengkaji. Ia sangat bermakna untuk membezakan dan turut memperjelaskan dan memperihal tindakan pengkaji.

CABARAN DALAM PROSES PENGUMPULAN DATA
Pengkaji perlu sentiasa menyusun, mengasing dan menyimpan data. Data yang di kumpul adalah untuk tujuan mendapatkan bukti-bukti terhadap kajian yang dilakukan. Proses pengumpulan data mungkin mengambil masa yang panjang. Pengkaji perlu mempunyai rekod yang lengkap dan arif mengenai lapangan di mana data di kumpul. Pengkaji juga mungkin sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada informan dan terlibat dengan perkara yang mengekang proses pengumpulan data. Hal ini demikian kerana, ada kalanya data yang di kumpul sangat berguna dan ada data yang di kumpul terlalu banyak dan tidak berfokus. Teknik penyimpanan data yang pelbagai perlu lebih sistematik bagi memastikan data boleh diulang semak dan boleh diambil untuk tujuan kesahan dan kebolehpercayaan kajian.


PERINGKAT MELAKUKAN REFLEKSI DALAM KAJIAN TINDAKAN
Dalam sesuatu kajian tindakan, refleksi boleh dilakukan sepanjang masa. Walau bagaimanapun, refleksi perlu dilakukan dalam tiga peringkat yang penting iaitu peringkat sebelum kajian, semasa kajian dan selepas kajian.

Peringkat Sebelum Kajian
sebelum kajian tindakan dimulakan, amalan yang telah dilakukan perlu diingat kembali dan direnungkan. Perlu difikirkan apakah masalah dalam amalan tersebut, mengapakah ia berlaku dan bagaimana masalah itu boleh ditangani. Analisis amalan tersebut dan fikirkan tindakan yang bersesuaian yang perlu dilakukan supaya amalan itu boleh diperbaiki. Apakah strategi yang sesuai boleh digunakan dan bagaimanakah menggunakannya adalah perkara yang juga penting difikirkan dalam peringkat ini. Persoalan-persoalan ini dapat membantu pengkaji dalam menggubal objektif kajian.

Peringkat Semasa Kajian
Semasa pengumpulan dan penganalisisan data, refleksi perlu dilakukan. Pada peringkat ini perlu disemak adalah strategi yang difikirkan sebelum ini sesuai digunakan untuk mengumpul data. Sekiranya tidak sesuai, strategi yang lain boleh digunakan. Dalam masa yang sama, perlu difikirkan kaedah yang sesuai untuk menganalisis data supaya objektif kajian dapat dicapai.

Peringkat Selepas Kajian
Refleksi sangat penting dilakukan selepas menjalankan kajian tindakan. Perubahan yang berlaku terhadap amalan sebelum perlu di sintesis. Nilai kembali kesan tindakan yang telah diambil supaya rumusan boleh dilaksanakan dan tindakan susulan boleh dirancang. Refleksi pada peringkat ini akan melengkapkan gelung kajian tindakan yang pertama. Sama ada perlu beralih kepada gelung kajian tindakan yang seterusnya bergantung pada refleksi pada peringkat ini.







HASIL REFLEKSI
  • Memberi pengkaji kefahaman baharu tentang kejayaan atau kegagalan beliau terhadap pengajaran dan pembelajaran.
  • Membantu pengkaji memahami mengambil tindakan pemulihan atau pengayaan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Membantu pengkaji memahami persekitaran keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Merubah persepsi pengkaji terhadap diri, sikap dan pengetahuan tentang bidang, teknik, pendekatan, strategi dan juga kemahiran.
  • Menjadikan pengkaji lebih peka, sentiasa positif dan percaya kepada sesuatu yang sentiasa boleh diubah, dibaiki dan dipertingkatkan seiring dengan perubahan sama ada dari aspek persekitaran, bilik darjah, pelajar, pentadbir atau pengurusan.




Refleksi dalam Kajian Tindakan

REFLEKSI DALAM KAJIAN TINDAKAN
Amalan refleksi dalam kalangan guru adalah sangat penting sebagai asas bagi menggerakkan guru untuk menyelidik, menyiasat dan memperbaiki amalan pengajaran masing-masing. Refleksi membolehkan guru membuat perubahan, inovasi dan pembaharuan untuk tujuan penambahbaikan atau peningkatan profesionalisme guru.

DEFINISI REFLEKSI
Refleksi adalah proses di mana pengetahuan dibina berdasarkan proses mengingat kembali (secara terarah), memikir dan mempertimbangkan serta membuat penilaian terhadap pengalaman daripada perbuatan, tindakan dan amalan yang dilakukan. Oleh itu, refleksi memerlukan pertimbangan yang berhati-hati atau panjang atau pemikiran yang dibuat dengan sistematik dan rasional.

REFLEKSI DALAM PENDIDIKAN
Guru perlu menjadi pemikir yang reflektif. Guru yang baik adalah guru yang reflektif, responsif terhadap perubahan emosi dan keperluan pendidikan setiap seorang daripada pelajarnya.

TUJUAN REFLEKSI DALAM KAJIAN TINDAKAN
Refleksi dalam kajian tindakan dilaksanakan sebagai alasan untuk menggerakkan seseorang itu untuk mengkaji amalan sendiri dan seterusnya cuba membuat perubahan supaya amalan tersebut dapat diperbaiki atau dipertingkatkan. Ia bertujuan untuk guru:
                    i.            Menilai amalan pengajaran kendiri dan membaiki serta mempertingkatkannya.
                  ii.           Menilai kesesuaian strategi pengajaran dan bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan.
          iii.        Meningkatkan keinginan mengkaji dan memperjelaskan peranan serta nilai peribadi berkaitan secara berterusan.
                           iv.            Menghuraikan penjelasan tentang pelajar, interaksi bilik darjah serta proses pengajaran dan pembelajaran.

Refleksi dalam kajian tindakan bermanfaat untuk:
                                i.            Menjadi pengukur keperluan pelajar.
                              ii.            Meningkatkan kecekapan guru.
                            iii.            Melihat kembali matlamat pendidikan, pengajaran dan pembelajaran
                            iv.            Memilih kaedah dan bahan pengajaran yang lebih baik
                              v.            Melihat kembali dan objektif yang hendak dicapai

Menurut Dewey  (1933), sikap yang perlu ada untuk menjadi seorang yang berfikiran reflektif adalah:
                                i.            Berfikiran terbuka
                              ii.            Kesungguhan
                            iii.            Bertanggungjawab

Seseorang yang berfikiran reflektif mempunyai kesediaan melihat sesuatu masalah dari pelbagai perspektif dengan penuh kesungguhan dan tanggungjawab. Sebagai pengjkaji, soalan-soalan berikut perlu bagi memupuk fikiran reflektif sebagai suatu usaha untuk sentiasa berada di landasan yang betul sepanjang melakukan kajian tindakan.
                                i.            What am i doing?
                              ii.            Why am i doing?
                            iii.            What other way can do it?
                             iv.            How does it work?
                               v.            Can i do it again or another way?


Refleksi juga penting untuk kreativiti manusia. Ia bertujuan dan berfokus apabila diamalkan setiap hari, menjadi satu tabiat minda yang membolehkan manusia untuk terus memperbaiki dan membuat sebaik mungkin. Refleksi akan membebaskan diri daripada terperangkap dalam andaian sendiri dan bertindak terburu-buru serta membantu untuk belajar daripada kesilapan sendiri.

PROSES DAN PROSEDUR KAJIAN TINDAKAN

PROSES DAN PROSEDUR KAJIAN TINDAKAN
Prosedur dan proses kajian tindakan menggunakan pendekatan dan kaedah kuantitatif dan kualitatif, iaitu menggunakan salah satu atau kedua-duanya sekalu dalam satu kajian. reka bentuk kajian tindakan merupakan prosedur yang sistematik dalam mengumpul dan menganalisis maklumat, seterusnya mengambil tindakan yang sesuai untuk meningkatkan amalan serta pengurusan sesuatu tugasan pengajaran dan pembelajaran.
       Pada awalnya Lewin telah menjelaskan berkaitan kajian tindakan yang mengandungi langkah perancangan, tindakan, pemerhatian dan penilaian hasil tindakan. Proses kajian tindakan bermula dengan idea umu yang menekankan bahawa adanya peningkatan atau perubahan dalam kerja dan amalan adalah diperlukan. Seterusnya, kumpulan dibentuk untuk menjelaskan dan mengkaji masalah yang dikenal pasti.

PROSES KAJIAN TINDAKAN
Terdapat pelbagai bentuk kajian tindakan yang boleh dijalankan. Walaupun bentu kajian adalah berbeza, namun setiap bentuk kajian perlu mempunyai ciri am yang sama, iaitu kajian tindakan yang dilaksanakan dalam bentuk gegelung yang merangkumi langkah-langkah seperti berikut:

Langkah 1: tinjauan awal, iaitu mengenal pasti masalah dan memahami masalah.
Langkah 2: merancang tindakan.
Langkah 3: pelaksanaan tindakan pemerhatian dan analisis data.
Langkah 4: melakukan penilaian dan refleksi
Langkah 5: sekiranya perlu masuk semula ke gelung ke dua dengan merancang semula.
    Proses dalam kajian tindakan akan berulang sehingga ia mantap dan dapat mencari jalan penyelesaiannya.



PENJELASAN TENTANG LANGKAH-LANGKAH DALAM KAJIAN TINDAKAN
Langkah 1: Tinjauan awal
a.      Mengenal pasti masalah
Masalah kajian pada asasnya dimulakan dengan persoalan atau tumpuan utama kepada penyiasatan yang akan dijalankan. Dalam mengenal pasti masalah, ia melibatkan persoalan seperti yang berikut:
                                i.            Apa yang kita hendak ketahui?
                              ii.            Apakah soalan-soalan yang boleh ditanya untuk memahami masalah tersebut?
                            iii.            Apakah (individu, artifak, amalan dan lain-lain) yang hendak dikaji?
                            iv.            Mengapakah masalah atau persoalan tersebut penting?adakah ia merupakan persoalan yang signifikan dan akan menyumbang kepada bidang atau amalan?
                              v.            Adakah masalah boleh dikaji berdasarkan sumber-sumber yang ada?

Oleh itu, sesuatu masalah atau persoalan kajian itu perlulah:
                                i.            Ditulis dengan jelas dengan menggunakan bahasa yang tidak terlalu teknikal atau serta dapat merangsang minat pembaca.
                              ii.            Skopnya cukup kecil supaya mudah diurus.
                            iii.            Diletakkan dengan baik dalam konteks teori dan penyelidikan semasa.
                            iv.            Masalah yang memerlukan tindakan segera di mana masalah tersebut merupakan keutamaan daripada dua atau lebih masalah yang telah dikenal pasti.
                              v.            Penyelesaian masalah itu sangat penting.
                            vi.            Data dapat dikutip dengan cepat dan mudah dalam apa jua situasi.
                          vii.            Bidang kajian berada di dalam ruang lingkup kuasa anda.
      

Contoh refleksi yang dibuat oleh seorang pensyarah yang boleh dijadikan masalah          serta fokus kajian.
“...walaupun dalam kursus ini pelajar diberi pendedahan dalam membuat pemilihan kata kerja berdasarkan kepada Taksonomi Bloom dalam penulisan RPH (Rancangan Pengajaran Harian), namun dalam penulisan persediaan mengajar mereka tidak dapat menggunakan kata kerja yang tepat seiring dengan aktiviti yang mereka rancang. Akibat daripada itu hasil pembelajaran yang hendak dicapai tidak jelas.”

         Oleh itu, saya akan fokuskan kepada kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar, iaitu:
a.       Kesilapan penggunaan kata kerja.
b.      Kegagalan membuat perkaitan antara aras pencapaian dalam aktiviti dan hasil pembelajaran yang hendak dicapai.
c.       Penulisan hasil pembelajaran tidak secara komprehensif.


b.      Memahami masalah
Setelah masalah kajian telah dikenal pasti, langkah seterusnya ialah memahami dan mengetahui tentang masalah tersebut secara lebih terperinci. Maklumat perlu di kumpul dengan menggunakan pelbagai cara untuk mengetahui dan memahami masalah dengan lebih baik. Antara contohnya ialah dengan mengadakan ujian, temu bual atau menganalisis dokumen berkaitan seperti rekod kemajuan pelajar, keputusan ujian atau dokumen yang berkaitan dengan permasalahan kajian yang hendak dijalankan. Setelah maklumat tersebut telah dianalisis, kita akan dapat mengetahui tentang punca masalah tersebut dan dapat membuat perancangan tindakan yang lebih sesuai untuk mengatasinya.

Langkah 2: Merancang tindakan
Dalam perancangan tindakan, perkara-perkara berikut boleh dipertimbangkan. Antaranya:
        i.            Tentukan matlamat cadangan tindakan.
      ii.            Mengapa tindakan itu diambil
    iii.            Senaraikan tindakan yang perlu diambil dan nyatakan bentuknya seperti aktiviti, bahan, tanggungjawab dan tugas.

Perancangan kajian tindakan merupakan pemikiran tentang tindakan-tindakan yang akan dijalankan bagi masalah yang telah dikenal pasti dan difahami. Langkah-langkah berikut:
                                i.            Menulis penyataan fokus kajian.
                              ii.            Definisikan pemboleh ubah yang berkaitan.
                            iii.            Bentuk soalan kajian.
                            iv.            Jelaskan intervensi atau inovasi atau aktiviti-aktiviti yang dicadangkan.
                              v.            Jelaskan rakan-rakan pengkaji yang akan terlibat.
                            vi.            Jelaskan perundingan yang perlu dijalankan.
                          vii.            Bina garis masa kajian.
                        viii.            Nyatakan sumber-sumber yang boleh dan akan digunakan.
                            ix.            Nyatakan idea-idea tentang pengumpulan data.
                              x.            Nyatakan cara-cara pemantauan perubahan, penilaian perubahan sama ada formatif atau sumatif.
                            xi.            Nyatakan keperluan-keperluan lain seperti bahan rujukan, kewangan, kemudahan, kelengkapan, tenaga dan masa.

Sebagai contoh, sekiranya masalah yang hendak dikaji berkaitan dengan ‘pelajar tidak berminat belajar,’ sudah tentu perkara-perkara yang hendak diketahui lebih lanjut adalah seperti berikut:
                                i.            Pelajar manakah yang tidak berminat?
                              ii.            Apakah yang mereka lakukan selain daripada belajar?
                            iii.            Adakah mereka tidak berminat membuat perkara yang sama atau yang berbeza?
                            iv.            Adakah pada masa, topik-topik tertentu atau mata pelajaran tertentu sahaja yang menunjukkan mereka kurang berminat?
                              v.            Apakah bentuk-bentuk perlakuan yang menunjukkan mereka tidak berminat belajar?
Soalan-soalan di atas boleh membantu menjelaskan lagi bentuk masalah yang dikaji.

Langkah 3: Menjalankan tindakan, iaitu pemerhatian dan analisis data.
Perkara yang dirancang perlu dilaksanakan untuk melihat keberkesanannya. Kumpulan akan memastikan segala yang dirancang dilaksanakan. Ada pihak yang terlibat dalam melaksanakan rancangan dan ada pula yang terlibat dalam mengumpul data untuk mengesan keberkesanan tindakan yang dibuat. Sekiranya apa yang dirancang adalah satu sesi pengajaran, maka perlu ada ahli kumpulan yang melaksanakan pengajaran yang ada yang memerhatikan pengajaran untuk mengumpul maklumat yang diperlukan. Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengumpul data dan ia bergantung pada keperluan kajian. contohnya:
                                i.            Bahan-bahan dokumentasi seperti kerja pelajar dalam bentuk projek atau kerja rumah, minit mesyuarat, rekod kedatangan pelajar, skor ujian bulanan, rekod keputusan peperiksaan dan sebagainya.
                              ii.            Rakaman video atau audio mengenai pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, luar kelas, pelaksanaan program kokurikulum.
                            iii.            Nota yang dibuat hasil temu bual dengan pelajar.
                            iv.            Foto dan gambar menunjukkan kegiatan yang dikaji.
                              v.            Catatan buku diari dan nota-nota pelajar.
                            vi.            Ujian bertulis dan soal selidik kepada pelajar.

Langkah 4: Melakukan penilaian dan refleksi.
Refleksi bermaksud melihat sama ada terdapat perubahan dan adakah perubahan tersebut disokong oleh data yang diperoleh. Guru perlu mengkaji dan meneliti data berkenaan dengan cermat. Guru perlu membuat analisis dengan menyemak data untuk mencari perkara-perkara yang di luar jangkaan. Penilaian refleksi boleh dijalankan oleh pengkaji atau bersama rakan pengkaji melalui perbincangan. Satu proses yang penting dalam tahap ini adalah, refleksi melibatkan analisis, sintesis, interpretasi, memperjelas dan membuat kesimpulan.
            Brookfield (1995) menyatakan bahawa proses refleksi adalah melibatkan seseorang itu aktif mengimbas kembali segala permasalahan yang dihadapi dan berusaha mempertimbangkan segala kemungkinan yang akan berlaku serta bertungkus-lumus mencari jalan bagi menyelesaikan segala permasalahan tersebut. Oleh itu, refleksi boleh diperjelaskan bahawa refleksi ialah tindakan yang bertujuan dan berhati-hati melalui penilaian secara kritikal yang melibatkan pengujian strategi seseorang untuk memberi respons kepada sesuatu situasi atau tindakan.
            Langkah menilai dan refleksi juga melibatkan pengambilan keputusan tentang apa yang berlaku seperti melihat semula fokus kajian, kekangan yang terdapat dalam situasi, pencapaian dan limitasi langkah pada tindakan pertama, mempertimbangkan kesannya (termasuk kesan yang tidak dijangka dan kesan sampingan), dan mula memikirkan implikasinya untuk tindakan pada masa depan.